
Ini kisah tentang seseorang yang aku kenali… aku gelarkan dia sebagai Puan K (K untuk Kuat)… Kerana kekuatannya bukan biasa-biasa…
Pada awalnya, perbualan kami hanyalah tentang kehidupan anak muda zaman sekarang… betapa bebasnya mereka menikmati dunia ini…
Namun tak lama selepas itu, bicara kami masuk ke topik yang jauh lebih berat… tentang trauma zaman kecil yang berlarutan hingga membawa kepada kemurungan yang bertahun-tahun menghantui hidup seseorang…
Di saat itu, Puan K mula membuka kisah hidupnya, sebuah kisah yang cukup perit hingga aku sendiri tertanya-tanya, bagaimana dia mampu bertahan sedangkan aku yakin aku tidak sekuat itu…
Puan K bercerita kepada ku… Sewaktu dia masih bayi, ayahnya yang merupakan seorang pegawai mengkhianati ibunya berskandal dengan seorang wanita biasa… Ibunya, dengan hati yang remuk, pergi menemui wanita itu untuk memberitahu bahawa lelaki yang bersamanya telah pun beristeri dan mempunyai tiga orang anak…
Namun malangnya, wanita itu memutar-belitkan cerita, mengadu yang bukan-bukan kepada ayah Puan K sehingga terjadi pertengkaran besar antara kedua ibu bapanya…
Ibunya sudah tidak tahan lagi untuk memendam rasa sakit seorang diri… Lalu Ibunya membuat laporan rasmi tentang kecurangan suaminya kepada pihak atasan…
Dan dari situlah bermulanya perpisahan yang merobek masa depan sebuah keluarga…
Selepas penceraian itu, Puan K yang masih kecil, masih bersekolah rendah, dibawa pulang ke kampung datuknya…
Di situlah bermula episod paling gelap dalam hidupnya… Dia dipaksa bekerja, dipaksa bangun sebelum fajar dan berjalan ke kebun getah yang dipenuhi bahaya.
Dia didera mental dan fizikal… pernah disimbah air teh panas ke muka, pernah dimaki, selalu diabaikan…
Sepanjang hidupnya dia tidak pernah benar-benar merasai kasih sayang seorang penjaga… Pengabaian itu akhirnya menjadikan Puan K remaja yang nekad melarikan diri dari kehidupannya yang penuh liku-liku sengsara…
Dalam hati Puan K, Dia rindu sosok tubuh seseorang… rindu kepada ibunya, rindu kepada adik-beradiknya, rindu kepada keluarga yang tidak pernah dia kecapi sepenuhnya…
Dia berhijrah jauh, mencari kebebasan daripada luka-luka lama… Di tempat baharu itu, dia bertemu seorang lelaki yang memberinya rasa disayangi buat pertama kali…
Lelaki itu membuatkan dia percaya kepada cinta sehinggalah akhirnya lelaki itu mengkhianatinya, sama seperti ayahnya dahulu… Hatinya retak, pecah dan hancur lagi untuk kesekian kali…
Namun di dalam dirinya masih ada secebis iman, masih ada keyakinan pada Tuhan…
Dia bangkit sendiri, membesarkan anaknya seorang diri selama sepuluh tahun… Sepuluh tahun yang penuh kesunyian, penuh air mata, penuh ketabahan seorang wanita yang tidak pernah menyerah walau badai datang bertimpa-timpa…
Dan akhirnya, takdir mempertemukannya dengan seorang lelaki yang Tuhan kirimkan sebagai pengganti duka… Lelaki yang kini menjadi suaminya yang hadir bukan hanya ketika senang, tapi memegang bahunya ketika dia jatuh tersungkur dek ujian, memberi nasihat ketika hatinya retak, dan menjadi pelindung ketika hidup kembali menguji…
Namun hari ini, hati Puan K diuji lagi… Anaknya semakin menjauh… Anak itu merasakan seolah-olah Puan K tidak pernah menyayanginya kerana sewaktu kecil dia diserahkan kepada seseorang yang sangat menginginkan cahaya mata sendiri… Sedangkan keputusan itu dibuat kerana keadaan yang memaksa Puan K, kerana kewangan, kerana hidupnya yang tidak stabil, kerana ingin anak itu membesar dalam keselesaan yang dia sendiri tidak mampu sediakan ketika itu…
Namun Puan K tidak pernah lepas tangan. Dia selalu mengambil tahu tentang anaknya, selalu merindui, selalu mendoakan dari jauh…
Sehingga ke hari ini, Puan K masih menitiskan air mata setiap kali mengingatkan anak yang dikandungkannya itu… rindu seorang ibu yang tidak pernah padam…
Duhai anak.. Ibumu tidak sengaja melepaskanmu.
Dia melakukannya agar engkau membesar dengan hidup yang lebih baik daripada hidup yang pernah dia lalui.
Duhai anak.. Janganlah engkau memusuhi ibumu kerana kesilapan lalunya, dia hanya manusia yang sedang bergelut untuk bertahan.
Doanya untukmu tidak pernah berhenti, kasihnya tidak pernah hilang walau sesaat.
Pulanglah Anak…
Peluklah ibumu seperti mana dia memelukmu pada hari engkau dilahirkan…
Jaga hatinya seperti mana dia menjagamu sewaktu engkau masih berada di dalam rahimnya…
Duhai anak.. Ibumu tidak pernah memandang hartamu walau satu sen, Ibu mu itu hanya mahu memelukmu sebelum nafas terakhirnya pergi…
Pulanglah, wahai anak…
Kerana takut nanti engkau hanya mampu berdiri di sisi tubuhnya yang kaku,sedang pelukan yang kau harapkan sudah tidak lagi mampu dibalas olehnya…
—————-




