Al Haya

Sharing Thoughts Via Writings

Keluargaku, Guruku.

Sejak kecil, hidup ini tidak selalu mudah. Aku membesar sebagai anak yang serba kekurangan, tidak sepantas rakan lain dalam pelajaran, tidak sepandai mereka dalam sukan, dan tidak sepetah mereka dalam hal agama… Sering kali aku menjadi bahan olok-olok, ditolak ke tepi, dan dipinggirkan hanya kerana kelemahan yang aku sendiri tidak mengerti… Banyak malam aku menangis sendirian, bertanya pada diri kenapa aku berbeza dari yang lain… Namun Allah menggantikan kekurangan itu dengan hadiah yang lebih besar buatku, iaitu keluarga… Dan daripada merekalah aku belajar bahawa setiap manusia dilahirkan dengan kekuatan tersendiri…

Mak adalah guru pertama aku….

Dia mengajar aku mengenal ilmu, mengenal agama, mengenal Tuhan. Daripadanya aku belajar cara berwuduk, cara solat, dan bacaan dalam solat… Perlahan-lahan, aku mula berdiri sendiri…

Hari demi hari, mak menanamkan sabar dan yakin dalam hatiku… Sebab itulah, sampai hari ini, mak tetap menjadi guru terbaik dalam hidup aku…

Ayah pula menjadi guru al-Quran aku… Dengan kesabaran yang tidak pernah putus, dia mengajar aku huruf demi huruf, dari alif ba ta hingga aku mampu membaca surah al-Baqarah dengan fasih…

Ayah mengajar aku bukan sekadar membaca, tetapi memahami apa yang Allah sampaikan kepada hamba-Nya… Dia membimbing aku kepada tadabbur, mengajarkan bahawa al-Quran bukan hanya bacaan, tetapi pedoman kehidupan…

Kakak-kakakku pula mengajar aku seni bergaul dan berkomunikasi… Mereka mendidik aku menjaga batas, menjadi wanita bermaruah, dan berfikir seperti wanita bijaksana…

Mereka menunjukkan kasih seorang kakak. Iaitu kasih yang tidak pernah meminta balasan, tetapi sentiasa hadir untuk membetulkan dan memeluk bila aku lemah…

Abang-abangku pula mengajar aku bagaimana menjadi kuat…

Dari mereka aku belajar cara melindungi diri, cara bertahan dalam kehidupan yang penuh ujian… Mereka selalu meyakinkan aku bahawa selagi mereka ada, aku tidak akan pernah dibiarkan…

Dari mereka aku tahu bahawa kasih seorang abang itu hadir dalam bentuk perlindungan, teguran, dan kesungguhan menjaga…

Adikku pula mengajar aku tentang tanggungjawab… Melaluinya aku belajar bagaimana menjadi contoh, menjadi penjaga, dan menjadi seseorang yang boleh diharap, dia membuat aku sedar bahawa menjadi kakak adalah amanah yang Allah hadiahkan…

Daripada mak, ayah, kakak, abang, dan adiklah aku faham bahawa walaupun kami dahulu hidup dalam serba kekurangan, didikan mereka cukup sempurna sehingga membentuk kami menjadi manusia yang tahu tanggungjawab, tahu budi, dan tahu menghargai kasih sayang…

Kemudian hadirlah suamiku…

cinta yang menyambung tugas ayah dan abang-abangku… Dia mengajar aku sabar, toleransi, dan menerima seseorang dengan segala kelemahannya…

Dia menunjukkan erti berdikari, mengajar aku mengurus kehidupan tanpa bergantung sepenuhnya pada mak dan ayah, dia mengingatkan aku tentang semua ajaran keluarga, dan memupuk aku menjadi wanita yang lebih matang…

Hadirnya anakku…

Guru kecil yang mengajar aku sabar walau tubuh letih… Guru kecil yang mengajar aku meluahkan kasih sayang tulus kepada makhluk yang masih suci…

Guru kecil yang membuat aku sedar bahawa menjadi seorang pendidik adalah tugas paling besar yang Allah amanahkan…

Inilah aku hari ini, terbentuk daripada ajaran insan-insan yang Allah pinjamkan dalam hidupku… Mereka bukan sekadar keluarga, tetapi guru yang membentuk aku menjadi diri aku hari ini…

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *