Al Haya

Sharing Thoughts Via Writings

Author: Ummu Utsman

  • Racun Dalam Drama

    Makin hari kita lihat teknologi perfileman semakin moden dan maju… Ini kerana adanya penonton setia yang menantikan siaran kegemaran mereka…

    Kita dapat lihat tidak kira peringkat umur, masyarakat kita cenderung menonton televisyen kerana banyak drama dan hiburan yang menarik perhatian kita.

    Ada drama yang diadaptasi daripada kisah benar dan ada juga sekadar fantasi semata-mata.

    Namun apa jua bentuk tayangan drama itu, semuanya mampu membuatkan penonton ketagih untuk mengikuti episod demi episod, sehingga rasa ingin tahu itu mengganggu kehidupan harian kita, kita mula lalai beribadah, lalai untuk menuntut ilmu, hilang fokus dalam tugasan dan malah ada terjadinya pengabaian terhadap anak kecil.

    Namun topik khusus ingin saya sentuh di sini adalah tentang drama berunsur lucah, curang dan hasutan yang membuatkan penonton perlahan-lahan menjadi berfikiran Toxic dan Red flag

    NormalisasiSoftpornDalamDrama

    Dalam sehari, dapat dilihat hampir pasti ada drama yang menayangkan aksi lucah ringan kepada penonton…

    Antara yang kerap dipromosikan ialah adegan pelukan ghairah pasangan bercinta selepas hantar kekasih pulang atau apabila ingin berpisah sementara dengan scandal…

    Ada babak godaan suami isteri dengan dialog nakal Double meaning sambil pelakon membuat sentuhan manja dan aksi menggoda bersama pasangan di dalam drama…

    Di tambah pula babak skandal di hotel atau bilik tidur yang berjumpa semata-mata ingin melalukan hubungan Zina dengan menunjukkan babak pergerakan ghairah di bawah selimut, sedangkan jelas dilarang keras berkaitan Zina yang membawa kerosakan dalam agama.

    Firman Allah Taala :

    [وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا]

    Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) – Surah al-Isra (17:32)

    Walaupun stesen TV meletakkan label seperti P13 / P16 / P18, ramai dalam masyarakat beranggapan bahawa selagi penonton bukan bawah umur, ia “tidak mengapa” untuk di tonton…

    Sedangkan tanpa sedar, kita sedang menormalisasikan softporn dalam kehidupan harian.

    Apabila mata, telinga dan jiwa sudah terbiasa dengan rangsangan sebegini setiap hari, manusia menjadi kurang sensitif terhadap kelucahan. Lama kelamaan perkara yang dahulunya dianggap salah, menjadi biasa.

    Disinilah munculnya bibit awal kerosakan moral, iman dan maruah terutama dalam kalangan anak muda.

    Daripada softporn, akhirnya mereka mencari pornografi sebenar…

    Dan daripada pornografi, muncullah ketagihan seksual, penyimpangan nafsu, jenayah seksual meningkat dan hubungan songsang… Dimana pada akhirnya berlaku keruntuhan rumah tangga bagi yang berkahwin.

    Allah taala dan Rasulullah SAW susan memberi kita Peringatan dalam Al-Quran dan Hadis tentang menjaga pandangan.

    Dimana Islam sejak awal lagi telah memberi garis panduan yang jelas tentang menjaga pandangan dan memelihara maruah.

    Allah memberi perintah pada hambanya untuk Menjaga Pandangan seperti dalam Surah An-Nur ayat 24:30

    Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

    Surah An-Nur ayat 31:

    “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”

    Allah tidak menyuruh lelaki atau wanita menjaga aurat terlebih dahulu tetapi menjaga pandangan, kerana dari mata turunnya rangsangan ke hati…

    Mata adalah pintu masuk fitnah dan maksiat seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

      Diriwayatkan daripada Huzaifah RA secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW): Pandangan mata itu salah satu panah daripada anak-anak panah syaitan. Barang siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, nescaya Allah SWT akan mendatangkan buatnya sebuah keimanan yang dia merasakan kemanisannya di hati.

      [Riwayat al-Quda’iyy dalam Musnad al-Shihab, dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Lihat SIlsilah al-Da’ifah, no. 1065].

      Jika mata tidak dikawal, ia akan merosakkan jiwa, memusnahkan iman dan membuka pintu kepada keinginan yang lebih besar dimana dunia ini penuh dengan tipu daya seperti firman Allah Taala yang mengingatkan kita

        Maksudnya: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”

        (Surah Al-An’am 6:32)

        Hiburan yang melampaui batas adalah sebahagian daripada ujian dunia buat kita umat manusia.

        Aksi Curang Dalam Drama pula menormalisasi pengkhianatan dalam Rumah tangga.

        Hal ini kerana unsur lucah dalam drama masa kini sering mempromosikan aksi curang sebagai tema utama seperti suami berhubungan dengan wanita lain, isteri mencari kekasih belakang suami, berlaku hubungan terlarang di pejabat serta pertemuan rahsia di hotel yang di selitkan dengan dialog romantis antara pasangan bukan mahram.

        Ia menunjukkan pada masyarakat kita bahawa kisah skandal dijadikan hiburan seolah-olah ia sesuatu yang “normal”

        Masalahnya, apabila drama aksi curang diulang tayang setiap hari, masyarakat menjadi lebih tertarik dan perlahan-lahan terpengaruh untuk mencuba dan akhirnya masyarakat terbiasa melihat pengkhianatan dalam hubungan suami isteri.

        Lama-lama, masyarakat tidak lagi memandang curang sebagai dosa berat atau perbuatan hina malah geng perempuan mula backup perempuan (bestie) dan geng lelaki mula backup lelaki (brotherhood).

        Curang bukan sekadar “drama”, tetapi pintu kehancuran keluarga, anak-anak dan masa depan.

        Cuba kita fikir mengapa Aksi Curang menjadi tarikan dalam masyarakat?

        Ini kerana Drama curang menjadi “viral” dan mendapat tontonan tinggi kerana beberapa faktor rasa ingin tahu manusia terhadap hal-hal terlarang.

          Benda yang dilarang itulah yang manusia ingin lihat.

          Dalam drama mereka menyelitkan Jalan cerita yang penuh emosi dimana penonton mudah simpati pada watak yang dipermainkan atau terbuai dengan watak penggoda..

          Di tambah pula adegan sedih, romantis, konflik rumahtangga dimana semua itu membuatkan fikiran penonton “melekat” di kaca TV

          Perlahan-lahan munculnya penyalahgunaan naluri fitrah manusia dimana nafsu dan emosi manusia mudah terpancing bila babak-babak curang dipersembahkan dengan romantik dan dramatik. Dan akhirnya Lama-kelamaan masyarakat hilang sensitiviti, apa yang dulu dianggap jijik, kini dianggap “biasa sahaja”…

              Apabila penonton asyik melihat curang berlaku dalam drama, sebahagian akan rasa “Kalau orang lain boleh curang, kenapa aku tak boleh?” atau “Mungkin ada lelaki / wanita lain lebih memahami aku.” lepas itu muncul pula fikiran “Curang bukanlah masalah besar mana pun, ramai je yang curang.”

              Inilah bahaya drama moden — ia mendidik secara halus tanpa penonton sedar.

            1. Topeng Alim: Bila ‘Ustaz’ Hanya Pada Mikrofon.

              Ada satu fenomena yang semakin kerap muncul dalam masyarakat hari ni.

              lelaki yang kelihatan sopan, lembut lidah ketika berceramah, penuh semangat bercakap tentang perjuangan Islam dan rumah tangga… namun di sebalik tirai rumah, akhlaknya langsung tidak mencerminkan apa yang dia khatibkan di pentas ceramah…

              Di atas pentas.. dia tampak seperti pembawa cahaya, bersinar-sinar mulut mengeluarkan tipu helah dirinya..
              Di hadapan isteri, dia menjelma menjadi bayang-bayang gelap.. mulut penuh bau cacian yang dia hidangkan untuk isteri…

              Perangai sebegini bukan perkara baharu tapi sejak dulu lagi agama sudah memberi amaran tentang manusia yang suka berpura-pura alim, tetapi tangan dan hatinya penuh kezaliman…

              Lagak suci di Medsos, Sehingga Gelapnya Tak Terlihat dek manusia luar…

              Ada lelaki yang petah memetik ayat Al-Quran, dan sangat rajin memberi “tazkirah” pokpet-pokpet di media sosial…

              Tapi dalam rumahtangga sendiri isteri diheret dengan kejam dalam keadaan sarat mengandung anak dari benih yang dia taburkan…

              Tambah lagi nafkah tidak diberi seperti yang dia war-warkan pada rakannya, malah lagi teruk bilamana duit isteri pula dijadikan modal untuk memikat perempuan lain..

              Lagi teruk bila cacian lebih kerap keluar daripada doa…

              Ironinya ceramahnya tentang rumah tangga Islam boleh jadi panjang berjela, tetapi akhlaknya sendiri berlubang di sana sini…

              Agama islam itu memang tidak salah dan agama islam adalah sempurna jika kita ikut sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW..

              Namun individu yang memperalat agama itulah punca kerosakan nama agama islam. Malah membuatkan masyarakat menjadi kurang kepercayaan untuk mengikuti ajaran islam yang sebenar…

              Larangan dan peringatan daripada Allah Yang Maha Esa dan Rasulnya Kepada Lelaki Sebegini...

              Menindas isteri & mengambil harta isteri tanpa hak adalah kezaliman

              Allah berfirman:

              “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesama kamu secara batil.”
              — Surah An-Nisa’ 4:29

              Lelaki yang mengambil duit isteri tanpa hak berada dalam kategori ini.
              Walau memakai jubah serapi mana, perbuatan itu tetap tercatit sebagai dosa…

              Lelaki terbaik bukan terletak pada ceramahnya

              Rasulullah SAW bersabda:

              “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.”
              — Hadis Riwayat Tirmizi (3895)

              Kefahaman yang mudah untuk dihadam.. Jika seseorang itu mengaku ‘pendakwah’ tetapi tidak mampu berlaku baik kepada isteri sendiri maka gelaran itu tidak layak dipakai olehnya!

              Ancaman untuk mereka yang berpura-pura alim

              Allah berfirman:

              “Celakalah bagi orang-orang yang berbuat riak.”
              — Surah Al-Ma’un (ayat-6
              )

              Riak bukan hanya menunjuk-nunjuk ibadah.
              Ia termasuklah berpura-pura soleh untuk membina imej “ustaz moden” di media sosial, sedangkan rumah tangganya hancur kerana kezalimannya sendiri.

              Topeng Yang Akan Tanggal Juga, dimana perangai lelaki seperti ini biasanya mempunyai satu ciri yang sama.. yakni mereka hidup dengan topeng identiti…

              Di hadapan orang, mereka pembawa kalam Tuhan. Di belakang pintu rumah, mereka pembawa luka kepada wanita yang mereka sumpah dulu untuk lindungi…

              Tetapi topeng tidak pernah kekal.
              Satu hari, perbuatan itu akan terdedah jika bukan di dunia, maka di akhirat kelak…

              Yang menzalimi isteri mungkin boleh menghaluskan kata-kata di ceramah, tetapi dia tidak dapat menghaluskan rekod amalnya di sisi Allah…

              Lelaki Soleh tak perlu Berlakon untuk jadi lelaki yang benar-benar berakhlak..

              tidak perlu mengangkat telefon untuk jadi baik..

              tidak perlu mikrofon untuk jadi suami yang bertanggungjawab..

              tidak perlu kamera untuk menunjukkan kesolehan..

              Kesolehan sebenar diuji pada tempat yang paling sunyi yakni di rumah sendiri…

              Jika di situ pun dia gagal, maka semua “ceramah perjuangan” yang dia laungkan hanya tinggal bunyi kosong.

            2. Wanita Yang Tabah

              Ini kisah tentang seseorang yang aku kenali… aku gelarkan dia sebagai Puan K (K untuk Kuat)… Kerana kekuatannya bukan biasa-biasa…

              Pada awalnya, perbualan kami hanyalah tentang kehidupan anak muda zaman sekarang… betapa bebasnya mereka menikmati dunia ini…

              Namun tak lama selepas itu, bicara kami masuk ke topik yang jauh lebih berat… tentang trauma zaman kecil yang berlarutan hingga membawa kepada kemurungan yang bertahun-tahun menghantui hidup seseorang…

              Di saat itu, Puan K mula membuka kisah hidupnya, sebuah kisah yang cukup perit hingga aku sendiri tertanya-tanya, bagaimana dia mampu bertahan sedangkan aku yakin aku tidak sekuat itu…

              Puan K bercerita kepada ku… Sewaktu dia masih bayi, ayahnya yang merupakan seorang pegawai mengkhianati ibunya berskandal dengan seorang wanita biasa… Ibunya, dengan hati yang remuk, pergi menemui wanita itu untuk memberitahu bahawa lelaki yang bersamanya telah pun beristeri dan mempunyai tiga orang anak…

              Namun malangnya, wanita itu memutar-belitkan cerita, mengadu yang bukan-bukan kepada ayah Puan K sehingga terjadi pertengkaran besar antara kedua ibu bapanya…

              Ibunya sudah tidak tahan lagi untuk memendam rasa sakit seorang diri… Lalu Ibunya membuat laporan rasmi tentang kecurangan suaminya kepada pihak atasan…

              Dan dari situlah bermulanya perpisahan yang merobek masa depan sebuah keluarga…

              Selepas penceraian itu, Puan K yang masih kecil, masih bersekolah rendah, dibawa pulang ke kampung datuknya…

              Di situlah bermula episod paling gelap dalam hidupnya… Dia dipaksa bekerja, dipaksa bangun sebelum fajar dan berjalan ke kebun getah yang dipenuhi bahaya.

              Dia didera mental dan fizikal… pernah disimbah air teh panas ke muka, pernah dimaki, selalu diabaikan…

              Sepanjang hidupnya dia tidak pernah benar-benar merasai kasih sayang seorang penjaga… Pengabaian itu akhirnya menjadikan Puan K remaja yang nekad melarikan diri dari kehidupannya yang penuh liku-liku sengsara…

              Dalam hati Puan K, Dia rindu sosok tubuh seseorang… rindu kepada ibunya, rindu kepada adik-beradiknya, rindu kepada keluarga yang tidak pernah dia kecapi sepenuhnya…

              Dia berhijrah jauh, mencari kebebasan daripada luka-luka lama… Di tempat baharu itu, dia bertemu seorang lelaki yang memberinya rasa disayangi buat pertama kali…

              Lelaki itu membuatkan dia percaya kepada cinta sehinggalah akhirnya lelaki itu mengkhianatinya, sama seperti ayahnya dahulu… Hatinya retak, pecah dan hancur lagi untuk kesekian kali…

              Namun di dalam dirinya masih ada secebis iman, masih ada keyakinan pada Tuhan…

              Dia bangkit sendiri, membesarkan anaknya seorang diri selama sepuluh tahun… Sepuluh tahun yang penuh kesunyian, penuh air mata, penuh ketabahan seorang wanita yang tidak pernah menyerah walau badai datang bertimpa-timpa…

              Dan akhirnya, takdir mempertemukannya dengan seorang lelaki yang Tuhan kirimkan sebagai pengganti duka… Lelaki yang kini menjadi suaminya yang hadir bukan hanya ketika senang, tapi memegang bahunya ketika dia jatuh tersungkur dek ujian, memberi nasihat ketika hatinya retak, dan menjadi pelindung ketika hidup kembali menguji…

              Namun hari ini, hati Puan K diuji lagi… Anaknya semakin menjauh… Anak itu merasakan seolah-olah Puan K tidak pernah menyayanginya kerana sewaktu kecil dia diserahkan kepada seseorang yang sangat menginginkan cahaya mata sendiri… Sedangkan keputusan itu dibuat kerana keadaan yang memaksa Puan K, kerana kewangan, kerana hidupnya yang tidak stabil, kerana ingin anak itu membesar dalam keselesaan yang dia sendiri tidak mampu sediakan ketika itu…

              Namun Puan K tidak pernah lepas tangan. Dia selalu mengambil tahu tentang anaknya, selalu merindui, selalu mendoakan dari jauh…

              Sehingga ke hari ini, Puan K masih menitiskan air mata setiap kali mengingatkan anak yang dikandungkannya itu… rindu seorang ibu yang tidak pernah padam…


              Duhai anak.. Ibumu tidak sengaja melepaskanmu.

              Dia melakukannya agar engkau membesar dengan hidup yang lebih baik daripada hidup yang pernah dia lalui.

              Duhai anak.. Janganlah engkau memusuhi ibumu kerana kesilapan lalunya, dia hanya manusia yang sedang bergelut untuk bertahan.

              Doanya untukmu tidak pernah berhenti, kasihnya tidak pernah hilang walau sesaat.

              Pulanglah Anak…

              Peluklah ibumu seperti mana dia memelukmu pada hari engkau dilahirkan…

              Jaga hatinya seperti mana dia menjagamu sewaktu engkau masih berada di dalam rahimnya…

              Duhai anak.. Ibumu tidak pernah memandang hartamu walau satu sen, Ibu mu itu hanya mahu memelukmu sebelum nafas terakhirnya pergi…

              Pulanglah, wahai anak…

              Kerana takut nanti engkau hanya mampu berdiri di sisi tubuhnya yang kaku,sedang pelukan yang kau harapkan sudah tidak lagi mampu dibalas olehnya…

              —————-

            3. Keluargaku, Guruku.

              Sejak kecil, hidup ini tidak selalu mudah. Aku membesar sebagai anak yang serba kekurangan, tidak sepantas rakan lain dalam pelajaran, tidak sepandai mereka dalam sukan, dan tidak sepetah mereka dalam hal agama… Sering kali aku menjadi bahan olok-olok, ditolak ke tepi, dan dipinggirkan hanya kerana kelemahan yang aku sendiri tidak mengerti… Banyak malam aku menangis sendirian, bertanya pada diri kenapa aku berbeza dari yang lain… Namun Allah menggantikan kekurangan itu dengan hadiah yang lebih besar buatku, iaitu keluarga… Dan daripada merekalah aku belajar bahawa setiap manusia dilahirkan dengan kekuatan tersendiri…

              Mak adalah guru pertama aku….

              Dia mengajar aku mengenal ilmu, mengenal agama, mengenal Tuhan. Daripadanya aku belajar cara berwuduk, cara solat, dan bacaan dalam solat… Perlahan-lahan, aku mula berdiri sendiri…

              Hari demi hari, mak menanamkan sabar dan yakin dalam hatiku… Sebab itulah, sampai hari ini, mak tetap menjadi guru terbaik dalam hidup aku…

              Ayah pula menjadi guru al-Quran aku… Dengan kesabaran yang tidak pernah putus, dia mengajar aku huruf demi huruf, dari alif ba ta hingga aku mampu membaca surah al-Baqarah dengan fasih…

              Ayah mengajar aku bukan sekadar membaca, tetapi memahami apa yang Allah sampaikan kepada hamba-Nya… Dia membimbing aku kepada tadabbur, mengajarkan bahawa al-Quran bukan hanya bacaan, tetapi pedoman kehidupan…

              Kakak-kakakku pula mengajar aku seni bergaul dan berkomunikasi… Mereka mendidik aku menjaga batas, menjadi wanita bermaruah, dan berfikir seperti wanita bijaksana…

              Mereka menunjukkan kasih seorang kakak. Iaitu kasih yang tidak pernah meminta balasan, tetapi sentiasa hadir untuk membetulkan dan memeluk bila aku lemah…

              Abang-abangku pula mengajar aku bagaimana menjadi kuat…

              Dari mereka aku belajar cara melindungi diri, cara bertahan dalam kehidupan yang penuh ujian… Mereka selalu meyakinkan aku bahawa selagi mereka ada, aku tidak akan pernah dibiarkan…

              Dari mereka aku tahu bahawa kasih seorang abang itu hadir dalam bentuk perlindungan, teguran, dan kesungguhan menjaga…

              Adikku pula mengajar aku tentang tanggungjawab… Melaluinya aku belajar bagaimana menjadi contoh, menjadi penjaga, dan menjadi seseorang yang boleh diharap, dia membuat aku sedar bahawa menjadi kakak adalah amanah yang Allah hadiahkan…

              Daripada mak, ayah, kakak, abang, dan adiklah aku faham bahawa walaupun kami dahulu hidup dalam serba kekurangan, didikan mereka cukup sempurna sehingga membentuk kami menjadi manusia yang tahu tanggungjawab, tahu budi, dan tahu menghargai kasih sayang…

              Kemudian hadirlah suamiku…

              cinta yang menyambung tugas ayah dan abang-abangku… Dia mengajar aku sabar, toleransi, dan menerima seseorang dengan segala kelemahannya…

              Dia menunjukkan erti berdikari, mengajar aku mengurus kehidupan tanpa bergantung sepenuhnya pada mak dan ayah, dia mengingatkan aku tentang semua ajaran keluarga, dan memupuk aku menjadi wanita yang lebih matang…

              Hadirnya anakku…

              Guru kecil yang mengajar aku sabar walau tubuh letih… Guru kecil yang mengajar aku meluahkan kasih sayang tulus kepada makhluk yang masih suci…

              Guru kecil yang membuat aku sedar bahawa menjadi seorang pendidik adalah tugas paling besar yang Allah amanahkan…

              Inilah aku hari ini, terbentuk daripada ajaran insan-insan yang Allah pinjamkan dalam hidupku… Mereka bukan sekadar keluarga, tetapi guru yang membentuk aku menjadi diri aku hari ini…

            4. MENGUMPAT-(manusia yang suka menyebarkan Keburukan orang lain)

              Bila adanya sesuatu majlis pasti akan ada sekumpulan manusia yang suka berbicara tentang saudara seagama yang lain. Sesetengah mereka mempunyai lidah bercabang dan telinga berkarat (yang suka mendengar keburukan orang lain).

              Pakaiannya kelihatan sopan, tudung yang labuh dan berjubah tetapi hatinya kotor. “Engkau nak dengar cerita tak pasal anak Kakwan tu, Anak dia dahla tak lawa tapi dapat laki yang elok pastu kaya pulak tu.. aku ade dengar yang dia ada guna-guna bomoh.” ….. Yang lain pun menyahutlah seruan si lidah bercabang ni.”lahhhh yeke, patut lah aku tengok laki dia lain macam je, turut je apa si Anak kakwan tu nak”… Dan ada juga yang setia jadi si telinga berkarat walaupun dia tidak turun berkata-kata. Alangkah kejinya sifat manusia yang suka memburukkan dan menjaja cerita saudaranya hanya untuk menjadikan ceritanya itu sesuatu topik perbualan yang menarik perhatian.

              Manusia sebegini lidahnya seakan tidak mampu menahan diri daripada membuka aib saudaranya. Jika ada yang tidak baik tentang orang lain, dialah orang pertama yang menyebarkan cerita. Jika ada rumah tangga orang lain bergoncang, dialah yang paling ghairah mengisahkan kelemahan orang. Seolah-olah kebahagiaan dirinya hadir hanya apabila dia menceritakan kelemahan manusia lain. Betapa kejinya sifat sebegini ada dalam diri manusia..

              Sedangkan Allah telah mengingatkan kita di dalam Al-Quran, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”….

              Larangan yang sangat keras telah Allah berikan pada hambanya ia menggambarkan betapa jijiknya perbuatan mengumpat dan membicarakan keburukan orang lain.

              Rasulullah sendiri amat membenci sifat ini. Baginda pernah tanya pada sahabatnya seperti berikut : “Tahukah kamu, apakah ghibah itu?.. Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Engkau menyebut tentang hal saudara kamu yang ia tidak sukai.” Baginda ditanya lagi, “Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku bicarakan?” Baginda menjawab: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada maka engkau telah berbuat ghibah, namun jika tidak benar, maka engkau telah berbuat fitnah”…. (Riwayat Muslim dan Ibn Hibban)

              Bagi Rasulullah.. sifat manusia yang suka menyakiti hati seorang Muslim dengan kata-kata yang mengaibkan adalah dosa besar, kerana ia memutuskan kasih sayang dan merosakkan silaturrahim.

              Kita umat islam seharusnya lebih berhati-hati dalam perbicaraan seharian apatah lagi bila berkumpul sesama saudara seagama. Kita juga sudah tahu bahawa berdosa besar jika seseorang itu menyebarkan fitnah mahupun mengumpat akan orang lain…

              Siapa yang suka mencari keburukan manusia, Allah akan membuka keburukannya walaupun dia menutupinya sebaik mungkin.

              Sifat suka membicarakan keburukan orang lain bukan sahaja menjauhkan manusia daripada kita, bahkan ia menjadikan kita dibenci Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah bukan sahaja melarang perbuatan ini, malah Baginda sangat membenci manusia yang menjadikan aib orang sebagai bahan cerita.

              Seharusnya, seorang Muslim menjaga lidahnya daripada mengumpat. Jika kita melihat kekurangan pada saudara kita, doakanlah kebaikan untuknya, bukan menjadikannya bahan bualan. Lidah yang digunakan untuk menutup aib dan menyebarkan kebaikan itulah lidah yang diberkati.

            5. PENGORBANAN -contoh terbaik buat anak

              Ibu, engkaulah contoh terbaik yang aku lihat di zaman moden ini.

              Aku ingat lagi pada pagi hari, aku turun ke dapur untuk menjamah nasi sarapan pagi. Disitu lah aku lihat pengorbanan seorang ibu yang penuh dengan kesabaran di dada. “Ibu sewaktu usianya muda, dia jaga kami anak-anaknya, sewaktu usianya tua dia jaga emaknya”. Kadang aku tanya diri aku (ibu tidak rasa penat ke uruskan anak lepas tu nenek pula). Sedangkan aku nampak rauk wajahnya yang menahan penat, menahan sakit badan kerana ibu juga sudah tua.

              Orang tua ni ada yang garang bila dengan anak dan ada juga yang sudah nyanyuk, bayangkan lah jika diri kita yang jaga mereka. kadang-kadang nenek ni marah tanpa sebab. Ada juga waktu keluar ayat yang menyakitkan hati ibu sebagai anak tapi ibu tak pernah balas balik dengan kasar. Dia sabar… Sangat sabar… Seakan ada perisai yang kuat menahan kata-kata yang menyakitkan itu. Ibu hanya diam tau iyakan saja, sambil ibu mandikan nenek, buatkan makanan…

              Aku terpegun seketika melihat kesabaran ibu. Hari-hari hadapi benda yang sama, hari-hari rasa kesakitan yang sama tapi tetap bersabar tanpa keluh-kesah..

              Ibu juga sudah berusia, rambutnya juga sudah dipenuhi uban. Tapi kasihnya tidak pernah hilang. Setiap hari pagi ibu lebih awal dari semua orang, bukan untuk dirinya, tapi untuk pastikan nenek terjaga rapi, makan, mandi dan berbedak wangi setiap hari. Seolah-olah nenek kembali menjadi anak kecil, seperti ibu menjaga anaknya begitulah ibu berbakti pada nenek… kali ini dengan lebih tabah, lebih dewasa, lebih ikhlas.

              Aku fikir panjang… macam mana ibu mampu buat semua ni?

              Aku tahu… ibu penat… Aku tahu… Ibu menahan sakit. Tapi dia tak pernah mengeluh… Tak pernah.. wajahnya sentiasa senyum bila anak-anak ada di depan mata.. seakan beritahu kami yang ibu baik-baik saja…

              Dari ibulah, aku belajar makna sebenar pengorbanan menjadi seorang Ibu dan anak yang bertanggungjawab… Aku nampak jelas erti kesabaran. Aku rasa dalamnya kasih seorang anak kepada ibu bapanya, walaupun usia mereka sudah lanjut, walaupun dirinya sendiri sudah layak untuk diberi rehat.

              Dalam diam, aku berdoa…

              “Ya Allah, jadikan aku sekuat dan sepenyayang ibu. Izinkan aku mencontohi akhlaknya, keberaniannya, tanggungjawabnya. Jika suatu hari nanti ibu pula sakit, izinkan aku menjaga ibu sepertimana dia menjaga nenek hari ini.”

              Ibu bukan wanita biasa. Di mataku, dia wanita solehah yang Allah hantar untuk menunjukkan aku jalan berbakti, jalan sabar, jalan syurga.

              Terima kasih, ibu. Melalui setiap perbuatanmu, kau sedang mendidikku bukan hanya dengan kata-kata, tapi dengan teladan yang hidup.

              Dan aku ingin menjadi sepertimu kelak…

            6. IBU “seorang pejuang”

              Aku belajar tentang kehidupan seorang ibu melalui anak sulungku.
              Aku sedar bahawa jadi seorang ibu itu sangat mencabar dan penuh onak duri yang seorang ibu sanggup tempuhi dengan keikhlasan hati serta kasih sayang.

              Sepanjang mengandung aku belajar untuk menjadi wanita yang penyayang, penyabar dan kuat.

              Sejenak aku terfikir hebatnya kuasa ALLAH ini, menciptakan janin di dalam rahim seorang wanita, dimana janin itu berkongsi kasih dan rasa yang sama dengan ibunya.

              Kadang ketika bahagia atau sedih aku dapat rasakan yang janin di dalam rahimku turut serta rasa perasaan ku dan kadang-kala aku rasakan janinku memujukku.

              Ada juga ketika aku yang manja ini rasa sakit-sakit badan tapi aku tidak sedih seperti sebelumnya malah perasaanku ini mengatakan ia nikmat yang berharga telah ALLAH berikan padaku.

              Bila sampai waktu aku melahirkan, aku mengalami sakit yang buatkan diri aku rasa hampir kehilangan nyawa.

              Ketika sakit itu menerpa diri aku, aku tidak henti mengucapkan nama Yang Maha Esa.
              Aku tidak henti meminta pertolongannya.

              Disitu aku sedar tempat untuk aku berharap hanyalah pada Allah. Sungguh besar kekuasaanNya yang memberiku kekuatan untuk menahan sakit ini, sehingga aku mampu menjadi insan yang kuat untuk melahirkan Anugerah terindah yang ALLAH berikan buat keluarga kecilku.

              Sakit ini mengajarkan ku bahawa tiada Tuhan Yang Maha Penyayang melainkan ALLAH.

              ALLAH jadikan hatiku untuk menyayangi anakku dengan penuh kasih sayang, Melindunginya dengan sepenuh kekuatanku dan mendidiknya dengan penuh kesabaran.

              Tidak mampu ku ungkapkan kata selain syukur Alhamdulillah di atas nikmat mu ini ya Allah..

            7. BULI

              Buli di kalangan pelajar sekolah!
              Budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah merupakan amalan yang sangat tidak sihat dan perlu dihentikan segera, begitu juga bagi ibu bapa, pihak berwajib yang sanggup bersekongkol lindung pembuli. (Atas alasan taknak burukkan nama sekolah) dalam masa yang sama cuba jaga nama..

              Kesan daripada kesalahan buli baik secara fizikal, mental mahupun emosi bukan saja menyakitkan mangsa secara luaran tapi ia juga mampu meninggalkan kesan psikologi yang mendalam dan berpanjangan kepada mangsa buli.

              Saya mengenali salah seorang mangsa buli disekolah. Katanya pengalaman di buli itu sangatlah beri kesan negatif yang mendalam dalam hidup dia, sehingga membawa trauma itu ke alam remaja.
              Kesannya buatkan diri mangsa mengalami rasa takut untuk bergaul dengan rakan, rasa rendah diri dan hilang keyakinan dalam tempoh yang sangat lama. Oleh itu, saya menyeru kepada para pelajar agar tidak mengulangi kesilapan ini dan memutuskan rantaian kezaliman ini daripada terus berlaku.

              Jika kita biarkan amalan buli ini berleluasa dalam kalangan pelajar, kita sebenarnya sedang membina generasi yang suka menindas orang lemah, sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dahulu. Abu Jahal, misalnya, terkenal sebagai penindas yang kejam terhadap umat Islam yang lemah, seperti Bilal bin Rabah RA yang disiksa hanya kerana memeluk Islam. Menurut Sirah Ibn Hisyam, Abu Jahal menyuruh meletakkan batu besar di dada Bilal di bawah panas terik matahari sambil memaksanya meninggalkan Islam.
              (Rujukan: Sirah Ibn Hisyam, jilid 1)
              Jika dilihat cara buli zaman ini juga hampir serupa, dimana pembuli dikalangan remaja bawah umur ini lebih cenderung kepada keganasan seperti memukul dan memaksa ke arah kerosakan mental dan fizikal mangsa.

              Agama islam dengan tegas melarang perbuatan menzalimi orang lain, apatah lagi terhadap orang yang lemah. Maksud ayat daripada Al-Quran yang akan mengingatkan kita: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
              (Surah Hud, ayat 113)

              Maka dengan ini jelaslah larangan dan amaran ALLAH Subhanahuwataala, di dalam Alquran kepada hamba²nya yang melakukan kezaliman ini.

              Bukan itu sahaja. Rasulullah SAW juga
              Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:
              “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain; dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya (dizalimi).”
              (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

              Berdasarkan ayat dan hadis ini, jelas bahawa Islam melarang sekeras-kerasnya perbuatan menzalimi orang lain, termasuklah perbuatan membuli. Buli bukan sahaja dosa terhadap sesama manusia, tetapi ia juga akan diadili di akhirat kelak kerana melibatkan hak orang lain.

              Kesimpulan budaya buli bukanlah satu tindakan yang boleh dianggap remeh. Ia memberi kesan negatif kepada mangsa dan merosakkan akhlak pelaku. Jika anda pernah membuli, bertaubatlah dan mohon maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa. Jika anda mangsa, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian dan Allah tidak pernah zalim terhadap hambaNya. Marilah kita bersama membina sekolah dan masyarakat yang berasaskan kasih sayang, hormat dan belas ihsan, bukan kekerasan dan penindasan.