Al Haya

Sharing Thoughts Via Writings

Tag: Mengumpat

  • MENGUMPAT-(manusia yang suka menyebarkan Keburukan orang lain)

    Bila adanya sesuatu majlis pasti akan ada sekumpulan manusia yang suka berbicara tentang saudara seagama yang lain. Sesetengah mereka mempunyai lidah bercabang dan telinga berkarat (yang suka mendengar keburukan orang lain).

    Pakaiannya kelihatan sopan, tudung yang labuh dan berjubah tetapi hatinya kotor. “Engkau nak dengar cerita tak pasal anak Kakwan tu, Anak dia dahla tak lawa tapi dapat laki yang elok pastu kaya pulak tu.. aku ade dengar yang dia ada guna-guna bomoh.” ….. Yang lain pun menyahutlah seruan si lidah bercabang ni.”lahhhh yeke, patut lah aku tengok laki dia lain macam je, turut je apa si Anak kakwan tu nak”… Dan ada juga yang setia jadi si telinga berkarat walaupun dia tidak turun berkata-kata. Alangkah kejinya sifat manusia yang suka memburukkan dan menjaja cerita saudaranya hanya untuk menjadikan ceritanya itu sesuatu topik perbualan yang menarik perhatian.

    Manusia sebegini lidahnya seakan tidak mampu menahan diri daripada membuka aib saudaranya. Jika ada yang tidak baik tentang orang lain, dialah orang pertama yang menyebarkan cerita. Jika ada rumah tangga orang lain bergoncang, dialah yang paling ghairah mengisahkan kelemahan orang. Seolah-olah kebahagiaan dirinya hadir hanya apabila dia menceritakan kelemahan manusia lain. Betapa kejinya sifat sebegini ada dalam diri manusia..

    Sedangkan Allah telah mengingatkan kita di dalam Al-Quran, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”….

    Larangan yang sangat keras telah Allah berikan pada hambanya ia menggambarkan betapa jijiknya perbuatan mengumpat dan membicarakan keburukan orang lain.

    Rasulullah sendiri amat membenci sifat ini. Baginda pernah tanya pada sahabatnya seperti berikut : “Tahukah kamu, apakah ghibah itu?.. Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Engkau menyebut tentang hal saudara kamu yang ia tidak sukai.” Baginda ditanya lagi, “Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku bicarakan?” Baginda menjawab: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada maka engkau telah berbuat ghibah, namun jika tidak benar, maka engkau telah berbuat fitnah”…. (Riwayat Muslim dan Ibn Hibban)

    Bagi Rasulullah.. sifat manusia yang suka menyakiti hati seorang Muslim dengan kata-kata yang mengaibkan adalah dosa besar, kerana ia memutuskan kasih sayang dan merosakkan silaturrahim.

    Kita umat islam seharusnya lebih berhati-hati dalam perbicaraan seharian apatah lagi bila berkumpul sesama saudara seagama. Kita juga sudah tahu bahawa berdosa besar jika seseorang itu menyebarkan fitnah mahupun mengumpat akan orang lain…

    Siapa yang suka mencari keburukan manusia, Allah akan membuka keburukannya walaupun dia menutupinya sebaik mungkin.

    Sifat suka membicarakan keburukan orang lain bukan sahaja menjauhkan manusia daripada kita, bahkan ia menjadikan kita dibenci Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah bukan sahaja melarang perbuatan ini, malah Baginda sangat membenci manusia yang menjadikan aib orang sebagai bahan cerita.

    Seharusnya, seorang Muslim menjaga lidahnya daripada mengumpat. Jika kita melihat kekurangan pada saudara kita, doakanlah kebaikan untuknya, bukan menjadikannya bahan bualan. Lidah yang digunakan untuk menutup aib dan menyebarkan kebaikan itulah lidah yang diberkati.